Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia

  • Announcements
  • BENGKEL TEKNOLOGI SENIOR BANTU PELAJAR LATIHAN INDUSTRI ASAH BAKAT SEIRING HASRAT USM LAHIRKAN GRADUAN HEBAT

BENGKEL TEKNOLOGI SENIOR BANTU PELAJAR LATIHAN INDUSTRI ASAH BAKAT SEIRING HASRAT USM LAHIRKAN GRADUAN HEBAT

Picture1

USM PULAU PINANG, 27 Julai 2023 – Pusat Teknologi dan Pengajaran Multimedia (PTPM) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah memberikan pendedahan yang amat berharga kepada dua orang pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM yang menjalani latihan industri di pusat tersebut.

Intan Suraya Samsi dan Nur Fatehah Mohamad Affendy telah didedahkan dengan ilmu penginsanan teknologi semasa membantu pihak PTPM untuk menyelaraskan program khidmat komuniti melalui Bengkel Teknologi Senior di bawah bimbingan dan penyeliaan pensyarah PTPM, Dr. Tan Yun Yi.

Kedua-dua pelajar tersebut telah diberi peluang untuk menganjurkan dua program melalui pendekatan program pemindahan ilmu pelajar (SKTP) sepanjang tempoh latihan industri mereka selama 12 minggu di SiLVER Lab, iaitu Program Sembang-sembang Teknologi dan Projek Poskad.

Peluang seperti ini adalah sangat berharga dan bermanfaat buat pelajar kerana ia merupakan keperluan kepada proses pembelajaran serta persediaan untuk ke alam pekerjaan kelak.

Menurut Pengarah PTPM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, program-program sebegini dapat menyemarakkan roh APEX USM dan memperkasakan SDG 4 (Matlamat Pembangunan Lestari #4) iaitu Pendidikan Berkualiti.

"Pihak PTPM sentiasa komited dalam memartabatkan kesaksamaan peluang pembelajaran dan penyediaan pendidikan sepanjang hayat (lifelong learning) kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Tambah Wan Ahmad Jaafar lagi, selain daripada menambah baik kualiti hidup komuniti, program pemindahan ilmu seperti ini dapat meningkatkan keupayaan berinteraksi dan melahirkan mahasiswa yang holistik.

Sementara itu, Yun Yi berkata, adalah penting untuk memberi keutamaan kepada penginsanan teknologi dalam landskap perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini, yang mana proses penginsanan teknologi ini melibatkan komunikasi dan demonstrasi yang efektif tentang tujuan dan manfaat teknologi kepada pengguna.

Beliau turut menjelaskan bahawa penginsanan teknologi juga dapat memudahkan integrasi teknologi ke dalam kehidupan harian pengguna.

355499321 575819944752286 2958284644867769342 n

“Penginsanan teknologi menekankan kepentingan untuk memastikan setiap inovasi mudah diakses, mudah difahami, praktikal dan tidak mengganggu kehidupan seharian pengguna.

"Kadar penggunaan teknologi berpotensi untuk terjejas sekiranya pengguna tidak dapat memahami nilai atau melihat inovasi tersebut adalah tidak relevan dengan kehidupan mereka. Oleh itu, adalah penting untuk memperbanyakkan program-program seperti ini untuk memudahkan proses "on-boarding" warga emas ke dunia teknologi digital.

"Pada akhir sesi program ini, setiap peserta berjaya mereka bentuk poskad sendiri untuk dicetak dan dihantar bersama-sama melalui peti surat Pos Malaysia yang berada di dalam kawasan USM," kata Yun Yi.

Kata Intan Suraya, selain daripada meningkatkan kemahiran berkomunikasi, latihan industri di SiLVER Lab telah banyak mengajarnya tentang tanggungiawab dan amanah yang telah diberikan dan beliau amat bersemangat untuk bekerjasama dalam melaksanakan setiap tugasan.

Menurut Nur Fatehah pula, beliau nekad untuk menjalani latihan industri meskipun program ini tidak menyumbang sebarang unit kepada pengijazahan, dan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah peluang untuk "pitching" bersama penyelia untuk mendapatkan dana daripada penaja untuk menggerakkan program yang diuruskannya.

Melalui pendedahan dan peluang yang diberikan, kedua-dua pelajar tersebut telah dapat memperluas jaringan industri dan berpeluang mengasah bakat serta kemahiran insaniah seiring dengan hasrat Universiti untuk melahirkan graduan H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate and Thinking).

Layari laman media sosial Bengkel Teknologi Senior dan SiLVER Lab di:

FACEBOOK - https://www.facebook.com/btsenior

INSTAGRAM - https://www.instagram.com/silverlab.usm

Teks: Dr. Tan Yun Yi/Suntingan: Mu’azzah Ismail (PTPM) & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Intan Suraya Samsi & Nur Fatehah Mohamad Affendy

Source: 

https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/9281-bengkel-teknologi-senior-bantu-pelajar-latihan-industri-asah-bakat-seiring-hasrat-usm-lahirkan-graduan-hebat

  • Hits: 485

Contact Us

Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM
Penang

Tel       : +604-6533222
Fax      : +604-6533825
E-mail  : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Like & Follow

  • Last Modified: Tuesday, 02 July 2024