Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia

  • Announcements
  • USM, OPPO MALAYSIA JALIN KERJASAMA BANGUNKAN BENGKEL FOTOGRAFI DIGITAL UNTUK WARGA EMAS

USM, OPPO MALAYSIA JALIN KERJASAMA BANGUNKAN BENGKEL FOTOGRAFI DIGITAL UNTUK WARGA EMAS

yunyi 1

USM PULAU PINANG, 21 Oktober 2023 – Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama OPPO Malaysia telah menganjurkan “Bengkel Fotografi Telefon Pintar” khas untuk individu yang berumur 55 tahun ke atas.

Projek kolaborasi eksklusif OPPO dengan Bengkel Teknologi Senior ini telah diadakan pada 9 September 2023 di Multimedia University (MMU) Kampus Cyberjaya sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023. Turut serta dalam kerjasama strategik ini ialah Amanz Media serta Faculty of Cinematic Arts MMU.

yunyi 2

Menurut Ketua Projek Bengkel Teknologi Senior, Dr. Tan Yun Yi yang juga pensyarah dari PTPM, projek kali ini berfokuskan kolaborasi dan kerjasama antara universiti dengan industri dalam perkongsian kepakaran, kemahiran, mekanisme dan kaedah pengajaran untuk memperkukuh inklusiviti serta menyokong komuniti warga emas dalam penggunaan peranti teknologi.

Selaras dengan dorongan idea "Teknologi untuk Manusia, Kebaikan untuk Dunia," Pengurus Pemasaran OPPO, Monica Qin berkata, OPPO berhasrat untuk memastikan tiada yang terpinggir dalam penggunaan teknologi dan bidang digital.

yunyi 3

“Kami yakin setiap individu pasti mempunyai potensi serta kreativiti yang tiada batasannya apabila dibekalkan peluang dan peranti digital yang sesuai termasuklah golongan warga emas.

“Selain daripada merakam detik-detik berharga bersama ahli keluarga dan sahabat, warga emas turut dapat memperkembangkan minat mereka dalam bidang fotografi,” katanya.

Bagi memastikan tiada yang ketinggalan dan semua peserta dapat mengakses fungsian telefon pintar, pihak OPPO turut menyediakan peranti tersebut kepada 19 orang peserta warga emas berumur antara 57 sehingga 75 tahun untuk kegunaan sepanjang program berlangsung.

Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan kepada peranti telefon pintar oleh Jeff Pang, Eksekutif Kanan Produk OPPO Malaysia, yang mana para peserta diberi pendedahan terhadap ciri-ciri peranti yang boleh membantu pengambilan gambar yang menarik dan tampak professional; kemudiannya diikuti sesi pembelajaran tentang teknik fotografi termasuk teknik pencahayaan, penggunaan konsep bokeh dan juga komposisi subjek penggambaran.

yunyi 4   yunyi 5
     
yunyi 6   yunyi 7

Bengkel Fotografi Telefon Pintar yang juga dinamakan “OPPO Golden Photography Workshop” ini diteruskan dengan sesi praktikal, yang mana para peserta diberi peluang untuk mencuba penggunaan peranti telefon pintar jenis OPPO Reno10 Pro+5G untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing dalam pengambilan gambar yang cantik dengan teknik yang dipelajari.

Para peserta turut menyertai sesi “Photo Walk” berfokuskan pada pengambilan gambar potret yang diadakan di perkarangan Multimedia University.

Mereka turut dibimbing oleh fasilitator yang terdiri daripada sukarelawan pensyarah, staf OPPO Malaysia dan pelajar daripada Faculty of Cinematic Arts MMU.

Di akhir bengkel, tiga peserta yang menghasilkan gambar potret terbaik telah dipilih oleh pihak penganjur untuk menerima cenderahati istimewa daripada OPPO Malaysia.

Peserta Raveendran Subramanian, 72, berkata program yang dianjurkan khas untuk warga emas seperti ini membuat beliau rasa dihargai dan kembali bertenaga.

“Program seperti ini turut dapat meyakinkan golongan warga emas bahawa mereka tetap mampu untuk mempelajari perkara baharu walaupun di usia senja,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk terus menyertai program-program seumpama ini pada masa akan datang.

Peserta bengkel Wan Farah, 61, pula berkata, program seperti ini merupakan salah satu cara untuk beliau meneroka kreativiti and menemukan hobi serta minat yang amat dekat kepadanya.

“Bengkel ini memberikan kami pemahaman yang lebih baik dalam cara penggunaan lensa potret dalam telefon pintar kami.

“Saya amat teruja, terutamanya ketika aktiviti “Photo Walk;” saya berharap saya dapat menyertai sesi-sesi bengkel yang akan datang dan belajar lebih banyak lagi tentang aspek lain dalam fotografi seperti fotografi landskap.

“Suami dan saya amat gemar melancong, dan saya berharap saya dapat mengaplikasi teknik yang dipelajari ketika mengambil gambar pemandangan dan budaya yang pelbagai,” ujarnya lagi.

yunyi 8

Pengarah PTPM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, “PTPM amat berbesar hati untuk berkolaborasi dengan OPPO yang merupakan salah satu peneraju pengeluaran dan innovator peranti pintar dalam membangunkan kreativiti dan kemahiran teknologi khususnya dalam kalangan warga emas.”

Teks: Dr. Tan Yun Yi/Suntingan: Mu’azzah Ismail & Tan Ewe Hoe/Foto: OPPO Malaysia

Source: 

https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/9630-usm-oppo-malaysia-jalin-kerjasama-bangunkan-bengkel-fotografi-digital-untuk-warga-emas

  • Hits: 270

Contact Us

Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM
Penang

Tel       : +604-6533222
Fax      : +604-6533825
E-mail  : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Like & Follow