Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia

  • Announcements
  • DUA PELAJAR KONGSI PENGALAMAN BERHARGA JALANI LATIHAN INDUSTRI DI SiLVER LAB PTPM

DUA PELAJAR KONGSI PENGALAMAN BERHARGA JALANI LATIHAN INDUSTRI DI SiLVER LAB PTPM

USM PULAU PINANG, 24 Julai 2023 – Bagi dua pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menjalani latihan industri di bawah bimbingan Dr. Tan Yun Yi di SiLVER Lab, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM dari 10 April 2023 sehingga 30 Jun 2023, ia adalah pengalaman berharga yang tidak dapat diperoleh di mana-mana.

 PTPMSilverLab001
 Intan Suraya Samsi (kiri) dan Nur Fatehah Mohamad Affendy (kanan) ketika program Sembang-sembang Teknologi di Kuala Lumpur

Begitulah kata-kata dari Intan Suraya Samsi dan Nur Fatehah Mohamad Affendy, kedua-duanya pelajar yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Antropologi dan Sosiologi.

Sepanjang tempoh latihan industri bersama Bengkel Teknologi Senior di SiLVER Lab, mereka diberi peluang untuk menganjurkan dua program iaitu Program Sembang-sembang Teknologi dan Projek Poskad.

 PTPMSilverLab002

Menurut Intan Suraya, sepanjang 12 minggu bersama PTPM, beliau dan sahabatnya telah diberi pendedahan dan peluang dalam pelbagai aspek pengurusan projek komuniti berpaksikan pendigitalan warga emas di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Jelasnya, program Sembang-sembang Teknologi yang dianjurkan pada 31 Mei 2023 dan 1 Jun 2023 di Kuala Lumpur dengan kerjasama Whatever Works Coffee dan Amanz Media yang berkonsepkan ‘learning café’ merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasa dan menyokong warga emas dalam perjalanan digital mereka dengan menyediakan ruang santai untuk mempelajari penggunaan aplikasi di peranti mudah alih dan juga konsep ilmu teknologi.

 PTPMSilverLab003

Program ini turut menawarkan sesi bimbingan secara individu kepada setiap warga emas yang hadir dan mereka diberi peluang untuk memilih dan mempelajari pelbagai topik berkaitan teknologi terkini dalam membantu pengurusan aktiviti serta rutin harian mereka.

Antara topik yang sering dibincangkan dan diajukan oleh peserta yang hadir adalah berkenaan cara penggunaan QR Code, pengurusan tetapan privasi di aplikasi media sosial, penggunaan aplikasi pemesanan dan penghantaran makanan, dan perbankan dalam talian.

 PTPMSilverLab004

Bagi program Projek Poskad pula yang telah dianjurkan pada 22 dan 23 Jun 2023 di SiLVER Lab, PTPM, merupakan program khas untuk golongan wanita untuk berkongsi tentang penggunaan aplikasi Canva bagi penciptaan grafik digital.

Menurut Intan Suraya, selain daripada meningkatkan kesejahteraan psikologi dan mental melalui aktiviti kesenian digital, program dua hari itu juga bertujuan untuk menghidupkan kembali nostalgia mengirim dan menerima poskad serta menyahut bidang Penciptaan Kandungan Digital dan Penyelesaian Masalah dalam Kerangka Kerja Kompetensi Digital.

 PTPMSilverLab005

Program itu turut dibantu oleh sukarelawan pelajar Zeon Leong Si Xiang daripada Pusat Pengajian Seni (Rekabentuk dan Teknologi Media Baharu).

Tambahnya, latihan industri merupakan satu kursus opsyenal bagi pelajar yang mengikuti kursus Sains Kemasyarakatan.

“Namun begitu, saya tetap memilih untuk mengambil peluang keemasan ini untuk menimba pengalaman baharu serta mempraktikkan ilmu yang telah diperoleh sepanjang tempoh pengajian beliau di USM,” katanya.

PTPMSilverLab009 
 PTPMSilverLab010

Sementara itu, Nur Fatehah pula berkata, beliau nekad untuk menjalani latihan industri ini meskipun program ini tidak akan menyumbang sebarang unit kepada pengijazahan.

“Ia membolehkan saya mendapat pendedahan awal situasi alam pekerjaan supaya lebih bersedia dan yakin dalam menghadapi dunia pekerjaan sebenar pada masa akan datang.

“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah peluang untuk “pitching” bersama penyelia untuk mendapatkan dana daripada penaja untuk menggerakkan program yang saya uruskan,” jelasnya.

Bagi Yun Yi, pensyarah kanan di PTPM yang mengetuai projek Bengkel Teknologi Senior di SiLVER Lab, beliau berkata, “melalui program-program seperti ini, kedua-dua pelajar tersebut telah dapat memperluaskan jaringan industri dan berpeluang untuk mengasah bakat serta kemahiran insaniah seiring dengan hasrat Universiti untuk melahirkan graduan H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking).”

Layari laman media sosial Bengkel Teknologi Senior dan SiLVER Lab di:

FACEBOOK - https://www.facebook.com/btsenior

INSTAGRAM - https://www.instagram.com/silverlab.usm

 

Teks: Dr. Tan Yun Yi/Suntingan: Mu’azzah Ismail (PTPM) & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Intan Suraya Samsi & Nur Fatehah Mohamad Affendy

Sumber: https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/9263-dua-pelajar-kongsi-pengalaman-berharga-jalani-latihan-industri-di-silver-lab-ptpm

  • Hits: 432

Contact Us

Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM
Penang

Tel       : +604-6533222
Fax      : +604-6533825
E-mail  : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Like & Follow