Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia

  • Announcements
  • BENGKEL TEKNOLOGI SENIOR TINGKATKAN LITERASI DIGITAL KOMUNITI WARGA EMAS

BENGKEL TEKNOLOGI SENIOR TINGKATKAN LITERASI DIGITAL KOMUNITI WARGA EMAS

 

IMG 5258

USM PULAU PINANG, 25 April 2023 – Dalam usaha meningkatkan literasi digital dalam kalangan komuniti warga emas di Pulau Pinang, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Amanz Media Sdn. Bhd., dan Multimedia University (MMU) telah menganjurkan program “Bengkel Teknologi Senior: Pemerkasaan Kompetensi Literasi Digital Komuniti Warga Emas” yang telah berlangsung dari bulan Disember 2022 sehingga Januari 2023.

 IMG 5259

Ketua Projek yang juga pensyarah dari PTPM, Dr. Tan Yun Yi berkata, Program Bengkel Teknologi Senior kali ini melibatkan penyertaan seramai 23 orang warga emas terdiri daripada pesara dan bekas kakitangan USM serta ahli-ahli Penang Senior Digital Resource Centre yang rata-ratanya berumur dalam lingkungan 60 sehingga 80 tahun.

IMG 5260

“Para peserta diberi pendedahan berkaitan dengan penggunaan teknologi terkini merangkumi pelbagai topik yang menggunakan strategi pembelajaran dan reka bentuk modul yang dibangunkan khas mengikut keperluan golongan warga emas,” katanya.

IMG 5261 

Antara topik menarik yang dikongsikan adalah seperti berikut:

Asas Pengenalan Komputer
Pengenalan kepada Telefon Pintar
Fotografi Menggunakan Telefon Pintar
Videografi Menggunakan Telefon Pintar
Aplikasi Peranti Mudah Alih – Pandu Arah dan Pesan Kenderaan
Aplikasi Peranti Mudah Alih – Pesan Makanan dan e-Dagang
Aplikasi Peranti Mudah Alih – Media Sosial dan Komunikasi
Aplikasi Peranti Mudah Alih – Kesihatan dan Kesejahteraan
Pengenalan kepada Aplikasi Canva
Penciptaan Seni Digital dengan Aplikasi Canva
Isu Keselamatan Siber dan Jenayah Komersil
Pengenalan kepada Dunia Metaverse
Perkhidmatan Perbankan Dalam Talian
Perkhidmatan Pembayaran Digital Pulau Pinang
Pengenalan kepada e-Wallet dan e-Payment
Penggunaan e-Wallet dan e-Payment untuk Pembelian
Menurut Yun Yi, lebih menarik lagi, para peserta turut dibimbing oleh pasukan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang kepakaran termasuk 11 orang tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah USM dan MMU, pakar industri, agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan seperti Experiential Design Team, Kameradansa Studio, Maybank dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang.

 IMG 5262

“Menerusi program ini, para peserta diberi pendedahan kepada konsep metaverse dan cara mencipta avatar untuk identiti di dunia maya.

“Peserta juga turut diberi pengalaman serta peluang untuk meneroka dunia realiti maya (virtual reality) bersama pakar industri dengan menggunakan “head-mounted display,” jelasnya.

 IMG 5263

“Para peserta diperkenalkan dengan teknik “lightbox photography” untuk pengambilan gambar produk yang profesional untuk tujuan pemasaran dengan menggunakan peralatan di SiLVER Lab, PTPM,” ulas lanjut Yun Yi.

Dalam sesi kali ini juga, Bengkel Teknologi Senior telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi sesi perkongsian tentang kes penipuan dalam talian dan modus operandi terkini jenayah komersil khususnya kes yang banyak melibatkan golongan warga emas.

 

Beliau turut bersyukur kerana mendapat bantuan dari pasukan sukarelawan program yang terdiri daripada 30 orang pelajar USM dari pelbagai bidang dan Pusat Pengajian yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang program pembelajaran dijalankan.

“Secara tidak langsung, program ini dapat memupuk jaringan kerjasama yang baik serta perkongsian ilmu teknologi di antara golongan senior dengan mereka dari Generasi Millenials,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap fasilitator telah diagihkan untuk membantu maksimum tiga peserta bagi setiap sesi pembelajaran terutamanya ketika aktiviti “hands-on”.

“Sokongan fasilitator pelajar dalam membantu peserta untuk meneroka ciri-ciri peranti digital serta mencuba fungsian pada peranti yang dimiliki adalah amat penting kerana ia menggalakkan para peserta untuk melakukan perbincangan dan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan sebaya (peer group learning) dengan bantuan fasilitator pelajar tersebut,” tambah beliau.

Pendedahan secara langsung kepada penggunaan aplikasi peranti mudah alih yang sering digunakan dalam urusan harian seperti pembayaran bil dalam talian, pembelian barangan dan penggunaan e-dompet berjaya memberi keterujaan kepada para peserta untuk mencuba aplikasi-aplikasi tersebut.

Menurut Pengarah PTPM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Program Bengkel Teknologi Senior ini merupakan titik permulaan kepada warga emas belajar dan seterusnya perlu membiasakan diri dengan penggunaan teknologi terkini dalam urusan harian mereka.

“Selain itu, ia juga membolehkan mereka aktif dalam dunia digital supaya seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital,” ujar Wan Ahmad.

Katanya lagi, menerusi program ini, PTPM secara tidak langsung telah merealisasikan agenda APEX untuk mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka serta mengukuhkan jaringan kerjasama Quadruple Helix antara Universiti-Agensi-Industri-Komuniti.

Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM, Dato’ Azman Abdullah berkata, program seperti Bengkel Teknologi Senior adalah program yang amat baik serta bermanfaat untuk warga pesara terutamanya golongan yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain daripada mempelajari perkara baharu tentang teknologi terkini, mereka juga boleh membina jaringan bukan sahaja dengan rakan-rakan pesara yang lain tetapi juga dengan pihak industri, NGO dan sebagainya,” katanya.

Wakil peserta, Kumaravel pula telah menyatakan bahawa beliau telah mula menggunakan aplikasi pembelian dalam talian dan e-dompet sejak wabak pandemik COVID-19 melanda negara.

Namun demikian, beliau menyedari bahawa terdapat satu aspek dalam latihan di sini yang sebenarnya telah membuka matanya.

“Warga seperti kami yang telah menghadiri kursus ini, kami boleh hadir sebagai “Train the Trainers”. Kami boleh pulang ke kampung halaman masing-masing dan mengajar mereka yang kurang diberi pendedahan tentang penggunaan teknologi terkini.

“Saya percaya menerusi program Bengkel Teknologi Senior, ia dapat membantu membuka mata warga emas. Saya menyokong penuh agar PTPM teruskan dengan program seperti ini supaya lebih ramai lagi warga emas seperti kami akan mendapat manfaat darinya,” jelasnya.

Sementara itu, peserta daripada Penang Senior Digital Resource Centre Pulau Pinang, Tan Khar Hoay pula berkata, beliau berasa amat gembira kerana dapat menghadiri dan mengikuti kesemua sesi pembelajaran yang dijalankan menerusi Bengkel Teknologi Senior.

“Program ini lebih baik daripada apa yang saya jangkakan. Saya fikir saya sudah tahu semuanya tetapi sebenarnya tidak. Banyak yang dapat saya belajar daripada tenaga pengajar yang hebat-hebat,” ujarnya.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada semua peserta di Majlis Penutupan Rasmi yang diadakan pada 10 Februari 2023.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah PTPM USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Bin Wan Yahaya; Ketua Pengarah Eksekutif Amanz Media, Ikhwan Nazri Mohd Asran; Presiden ROSE Charities Malaysia, Dato’ Lawrence Cheah; dan juga Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM, Dato’ Azman Abdullah.

PTPM sentiasa mengalu-alukan penyertaan para pelajar dan pensyarah yang berminat untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan Bengkel Teknologi Senior di SiLVER Lab.

Maklumat lanjut tentang program ini boleh diperolehi dengan menghubungi Dr. Tan Yun Yi, Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), 11800 USM Pulau Pinang. Tel: 04-653 3222; Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Layari laman media sosial Bengkel Teknologi Senior dan SiLVER Lab di:

FACEBOOK - https://www.facebook.com/btsenior

INSTAGRAM - https://www.instagram.com/silverlab.usm

Sumber teks: Dr. Tan Yun Yi/Suntingan: Mu’azzah Ismail & Tan Ewe Hoe/Foto: Syed Azreezal Syed Ahmad Mufazzal, Nur Fatihah Othman, Anis Syuhada Mohd Asro & Abdullah Nudin

Sumber Gambar: https://drive.google.com/drive/folders/1Y1Hl88z04jJqCQ54reI5mZMdL7sTNBbP?usp=sharing

  • Hits: 1326

Contact Us

Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM
Penang

Tel       : +604-6533222
Fax      : +604-6533825
E-mail  : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Like & Follow

  • Last Modified: Friday, 08 November 2024