PESTA ORANG PENCEN: USAHA KOLEKTIF PENDIGITALAN WARGA EMAS PULAU PINANG
USM, 10 DEC 2021 – Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), USM dengan kolaborasi Fakulti Seni Sinematik, Multimedia University (MMU) telah menganjurkan program Pesta Orang Pencen bagi meneruskan usaha pendigitalan warga emas di Pulau Pinang. Program ini diketuai oleh Dr. Tan Yun Yi, pensyarah kanan PTPM dan turut mendapat sokongan industri Amanz Media Sdn Bhd dan Filamen Sdn Bhd.
Istilah “pencen” sering dikaitkan dengan anggapan yang agak negatif seperti “tamat tempoh” dan “berhenti berkhidmat”. Program Pesta Orang Pencen (POP) dengan tema utama “Pembudayaan Teknologi” ini dianjurkan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap warga emas dan fenomena penuaan. Selain daripada itu, program ini juga bertujuan menggalakkan pandangan positif terhadap warga emas dan mengamalkan penuaan aktif khususnya dalam kompetensi dan kemahiran digital.
Program ini dihadiri oleh 16 peserta daripada Penang Seniors Digital Resource Centre dan ROSE Charities Pulau Pinang yang berusia 60 sehingga 79 tahun. Siri pertama program POP, “A Peek at the Older Generation” merupakan sesi bengkel yang memberi pendedahan kepada warga emas tentang kemahiran fotografi dan videografi dengan menggunakan peranti mudah alih mereka sendiri. Para peserta juga didedahkan kepada kepentingan mendokumentasikan kehidupan seharian mereka dan perkongsian pengalaman hidup dengan generasi muda melalui penggunaan teknologi.
Sesi pagi dimulakan dengan penayangan dokumentari yang dihasilkan oleh pelajar universiti tentang interaksi warga emas dengan peranti digital ketika pandemik COVID-19. Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Seni Sinematik MMU, En. Syed Amar Ghazi Syed Ahmad Alkugsi telah berkongsi kepakaran beliau dalam penghasilan dokumentari tersebut dan dibantu oleh En. Furqaan Mohamad, Cik Mary Grace Liew dan Cik Eunice Alexander. Setiap tayangan dokumentari diselitkan dengan sesi soal jawab antara peserta dan pengajar untuk memberi pemahaman lanjut tentang teknik asas serta peralatan yang telah digunakan dalam penggambaran. Sesi pagi ini bertujuan untuk menggalakkan warga emas untuk terus terlibat dan produktif semasa mereka berada di rumah sepanjang penularan COVID-19.
Sesi petang diteruskan dengan bengkel “hands-on” kemahiran fotografi dan video yang menggunakan instruksi pengajaran yang membantu pembelajaran warga emas. Sesi ini dimulakan dengan demonstrasi oleh pengajar. Peserta kemudiannya diberi peluang untuk mencuba kemahiran yang telah dipelajari dengan peranti mudah alih sendiri dan dibantu oleh para fasilitator.
Turut hadir di program libatsama komuniti ini ialah En. Ikhwan Nazri, Ketua Pegawai Eksekutif Amanz Media Sdn Bhd, En. Aman Firdaus, Pengasas dan Editor Amanz Media Sdn Bhd, En. Abdul Shakir Abu Samah, Pengasas Filamen Sdn Bhd, Dato’ Lawrence Cheah, Presiden ROSE Charities Malaysia dan Pengasas Bersama Penang Senior Digital Resource Centre, dan En. Vincent Yeoh, Timbalan Presiden ROSE Charities Malaysia.
Bengkel ini ditamatkan dengan sesi soal jawab serta acara penyampaian sijil kepada peserta yang telah menghadiri dengan jayanya.
- Hits: 340