PTPM SANTUNI KOMUNITI MENERUSI BENGKEL BJIM DI SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS VOKASIONAL MERBOK, KEDAH
USM, 23 Oktober 2020 – PTPM terus menyantuni komuniti setempat di sekolah menerusi Program Khidmat Libatsama Universiti-Komuniti BJIM (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat). Menerusi program tersebut, satu bengkel pencetakan menggunakan Pencetak 3D telah dijalankan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok (SMPKV) Merbok Kedah pada 20 hingga 22 Oktober 2020.
Program PTPM yang dibiayai oleh geran BJIM adalah diketuai oleh Ts. Dr. Nur Azlina Mohamed Mokmin, pensyarah kanan PTPM, dan telah dihadiri oleh 21 orang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) pembelajaran, pendengaran, dan Autism. Ia dimulakan dengan ceramah pembelajaran dan pengajaran bengkel yang disampaikan oleh Encik Tan Wei Jim, seorang staf USM yang berpengalaman dalam pencetakan 3D. Pada akhir bengkel, para peserta telah berjaya membuat rekabentuk 3D ringkas menggunakan perisian FreeCad dan berjaya mencetak bahan 3D yang dibina. Seramai tujuh orang guru dari sekolah SMPKV terlibat bersama sebagai peserta dan membantu mengendalikan bengkel. Dua wakil bahagian teknikal PTPM juga telah membantu guru-guru sekalian dalam hal berkenaan dengan teknik percetakan 3D berkesan.
Ts. Dr. Nur Azlina berkata, “Program PTPM memfokuskan kepada tiga elemen utama, iaitu teknologi, kreativiti dan semangat bekerjasama. Tambahan beliau, “ia sebagai landasan bagi menggalakkan komuniti setempat, terutamanya golongan OKU menggunakan teknologi digital dalam tugasan harian selain memupuk semangat kolaborasi.”. Ts. Dr. Nur Azlina berkata lagi, PTPM sentiasa memperkemas program khidmat masyarakat supaya komuniti setempat di Malayasia, terutamanya golongan OKU menerima manfaat maksimum.
- Hits: 687