PTPM MENANG GERAN MDEC

MDEC

USM, 4 November 2020 – Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) telah memenangi “Geran Membangunkan Standard Kompetensi Digital Pendidik” daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang bernilai RM49,014.00.

Geran MDEC tersebut bertujuan untuk membangunkan rubriks penilaian kompetensi standard pendidik di Malaysia. Geran yang julung kali diadakan adalah suatu geran industri tiga bulan yang melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MDEC. Pasukan penyelidikan geran tersebut diketuai oleh Pengarah PTPM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya dan tiga ahli penyelidik, iaitu Dr Mageswaran A/L Sanmugam, Ts. Dr Irwan Mahazir Ismail, dan Dr Munira Hashim. MDEC adalah institusi milik kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengurus infrastruktur digital seperti Multimedia Super Corridor (MSC Malaysia) di Malaysia sebagai zon industri teknologi dan perdagangan.

Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar berkata, “melalui geran industri ini, PTPM akan memperkenalkan suatu standard penilaian yang merangkumi instrumen pengukuran, standard bertaraf antarabangsa dan indikator kompetensi serta dashboard yang juga menggabungkan kompetensi pembelajaran digital, inovasi, kreativiti, dan pengiktirafan kepada pendidik”.  Standard ini akan digunakan oleh 400,000 orang pentadbir, guru, Guru Penyelaras Bestari, Guru ICT dan Guru Perpustakaan dan Media sekolah di seluruh negara. Selaras dengan misi USM untuk ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’, “geran tersebut akan dapat mengukuhkan lagi sokongan kami terhadap inovasi dan model pembelajaran digital di Malaysia pada saat-saat yang penuh dengan pelbagai cabaran.” ujar beliau.

Penerima geran dijangka mencipta produk dalam masa tiga bulan dan membentangkan dapatan penyelidikan mereka dengan KPM dan MDEC. Dijangkakan pencapaian geran ini oleh penyelidik PTPM dapat melonjakkan nama PTPM di seluruh Malaysia dan antarabangsa serta menyumbang kepada system pendidikan Malaysia pada masa hadapan.

PUSAT TEKNOLOGI PENGAJARAN & MULTIMEDIA
Centre for Instructional Technology & Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM, Pulau Pinang
Malaysia

Tel: +604-653 3222 / 3224 / 3226     |    Fax: +604-653 2375

user gray